Monday, 29 July 2013

Seperti yang kita sedia maklum, kolej kediaman di UiTM tidak boleh menampung keseluruhan jumlah pelajar. UiTM sebagai sebuah universiti yang mempunyai penuntut paling ramai di Malaysia secara langsung terpaksa membentuk satu sistem saringan agar hanya pelajar yang terbaik dan dikira kurang berkemampuan sahaja yang layak diberikan kemudahan tersebut.

Langsungnya, apabila Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) dicipta maka satu paksi mahasiswa untuk bergiat aktif telah ditubuhkan. Namun apa sudah jadi dengan JPK sekarang? Pelbagai rungutan antara mahasiswa dapat didengari berkenaan sikap pilih bulu JPK dalam aktiviti-aktiviti kolej dan isu kelayakan pelajar untuk menduduki kolej kediaman.

JPK kini dianggap makin kehilangan fungsi kerana tidak mampu bertindak secara efektif dalam menyampaikan permasalahan mahasiswa yang menginap di kolej pada pihak pengurusan kolej. 

Contoh terdekat yang boleh diambil ialah JPK Kolej Perindu. Pada minggu peperiksaan semester Jun 2013 satu “spotcheck” barangan elektrik tidak berdaftar telah dilakukan oleh pihak pengurusan kolej. Apakah relevannya spotcheck tersebut dilakukan pada minggu peperiksaan?

Pengurusan melakukan spotcheck tersebut dengan bantuan para JPK perindu. Dimanakah tanggungjawab JPK dalam menyampaikan suara penghuni kolej kediaman ketika itu? Tidak mungkin pengurusan dan JPK tidak sedar yang bahawa rata-rata pelajar sedang belajar pada waktu tersebut.

Harus diingatkan bahawa terdapat pelajar yang telah tamat peperiksaan awal dan pulang ke kampung halaman. Malah, sebilangan pelajar pula akan keluar belajar di perpustakaan dan fakulti masing-masing. Kritikalnya, mereka yang akan mengambil peperiksaan pada keesokan harinya. Pasti pemeriksaan remeh temeh ini mengganggu mereka untuk mengulangkaji pelajaran.

Minggu peperiksaan ini merupakan waktu genting buat mahasiswa mentelaah pelajaran lebih-lebih lagi minggu mengulangkaji yang dipendekkan kerana jumlah cuti yang terlalu banyak pada semester ini. Seharusnya, minggu ini tidak disentuh oleh pengurusan dengan alasan untuk membuat pemeriksaan barangan elektrik.

Persoalannya, sejauhmanakah efektifnya pemeriksaan ini ketika jumlah penghuni kolej tidak mencapai kapasiti yang sepatutnya? Adakah pengurusan selama ini bergoyang kaki bersama JPK sehingga tiada masa, dan terpaksa memilih minggu peperiksaan?

Salah guna kuasa juga dilihat makin kerap berlaku dalam JPK. Terutamanya Kolej Jati, Perindu, Mawar dan Melati. Mereka sering memaksa pelajar untuk bergiat aktif dalam aktiviti kolej tanpa kerelaan pelajar sendiri. Pelajar ditahan dari pulang bermalam pada hujung minggu kerana aktiviti bukanlah satu perkara yang asing. 

Antara ugutan yang sering dilemparkan dari pihak JPK adalah pelajar tersebut tidak akan mendapat kolej jika tidak hadir dalam sesuatu aktiviti anjuran JPK. Begitu besarkah kuasa JPK? Adakah mereka mempunyai kuasa menewaskan persatuan-persatuan pelajar yang lain? Dimanakah ruang untuk persatuan dalaman universiti untuk mempromosikan aktiviti dan program yang mereka anjurkan?

Cukup sekadar mewajibkan pelajar dan memaksa mereka datang? Tidakkah itu bermakna aktiviti anjuran JPK sekadar syok sendiri? Alasan berupa ugutan yang meletakkan kelayakan untuk menghuni kolej pada semester seterusnya merupakan satu kezaliman berganda. Hal ini kerana, menyertai aktiviti anjuran JPK, yang diwajibkan bukanlah satu jaminan bahawa permohonan menduduki kolej kediaman akan berjaya. Paksaan satu perkara, penipuan sebuah lagi perkara.

Pelajar yang ingin menginap di kolej akan hadir ke program-program tersebut tanpa sebarang ugutan atau paksaan. Jika pelajar tidak hadir ke program-program anjuran JPK itu biarkan sahaja mereka kerana mungkin mereka aktif dalam aktiviti-aktiviti lain di UiTM selain aktiviti kolej. Jika mereka memang tidak aktif maka itu satu pentanda yang jelas yang bahawa mereka memang tidak perlukan kemudahan tersebut.

Tambahan lagi, terdapat JPK yang dengan murah hatinya memberi kupon pada sahabat-sahabat mereka secara percuma. Beruntunglah bagi mereka yang punyai hubungan baik dengan JPK. Tidak perlu hadir ke program cukup dengan sekadar meminta kupon lebih secara percuma dari JPK.

Perkara ini sedikit sebanyak menutup peluang lain bagi pelajar-perlajar yang benar-benar aktif. Tidakkah JPK sedar bahawa apa yang mereka lakukan ini salah satu bentuk korupsi dan pengamalan kronisme?

Mengapa kejayaan seseorang pelajar menganjurkan program diperingkat universiti dan antarabangsa tidak dijadikan penilaian? mengapa penglibatan pelajar dalam aktiviti luar kampus yang diiktiraf badan ternama tertentu tidak dianggap layak menduduki kolej?

Antara rungutan yang paling nyata dalam kalangan pelajar aktif ialah bagaimana sesuatu pengkelasan kupon itu diklasifikasikan? Apakah pembezaan antara kupon kolej kediaman dan kupon anjuran persatuan dan MPP itu releven pada waktu sekarang?

Apakah seluruh mahasiswa kampus selepas ini tidak perlu aktif berpersatuan dan hanya perlu fokus kepada aktiviti kolej? apakah dengan cara ini dapat menunjukkan bahawa aktiviti anjuran JPK itu berjaya dengan menarik puluhan ribu penyertaan? Apakah aktiviti JPK sahaja boleh menjamin pekerjaan pada masa akan datang sekiranya penyertaan mereka ditampal ke dalam resume?

Kegagalan menjalankan tanggungjawab sebagai perwakilan adalah berpunca daripada pemilihan JPK itu sendiri. Kegagalan mereka dalam membela nasib mahasiswa yang tinggal di kolej adalah kerana mereka memang bukan dipilih oleh mahasiswa yang sebaliknya dicaturkan oleh pengurusan sendiri.

Semakin baik dan aktif seseorang itu menundukkan kepalanya ketika berhadapan dengan pengurusan kolej, semakin tinggi peluangnya untuk dilantik sebagai JPK. Semakin baik hubungan seseorang itu dengan JPK sebelumnya, semakin besar peluangnya untuk memegang jawatan penting di dalam sesebuah kolej kediaman.

Realitinya, mereka dipilih dari batch JPK yang terdahulu. Jauh bezanya JPK UiTM dengan JPK-JPK di universiti lain yang perlu melalui proses pilihanraya seperti MPP. Ambil UTHM sebagai contoh di mana Jawatankuasa Perwakilan Kolej dipilih sendiri oleh mahasiswa melalui sistem pilihan raya kolej kediaman. 

Satu tindakan transformasi perlu dilakukan dengan segera agar JPK menjadi lebih efektif pada masa hadapan. Ingat para JPK, anda bukan yang berhormat, sebaliknya anda yang berkhidmat. Jika ingin menjadi pengganti pada MPP dalam kawasan kolej maka lakukan kerja anda dengan baik. 

MPP UiTM juga harus cakna. Anda juga harus memainkan peranan dalam isu ini kerana penghuni kolej juga pelajar UiTM. Apa gunanya wujud Exco Penempatan dan Kolej jika mereka tidak bersuara. Adakah MPP sendiri sudah tidak mampu bersuara terhadap JPK? Sedangkan JPK juga berada dibawah MPP.    ..... BENARKAH INI YANG TERJADI KEPADA KAMPUS-KAMPUS CAWANGAN?? ADAKAH JPK HANYALAH TUKANG BUAT KERJA " AH CHAI" KEPADA UPK ?? DAN HANYA DI BERI KOLEJ SEBAGAI SOGOKKAN...        FIKIRKAN....                 ADMIN -UITM MINANG-

1 comment:

  1. Aku rasa tak perlu kot ko curi artikel org lain mcm nih. kalau nak buat artikel baik buat sendiri. UiTM Insider tulis penat-penat ko senang jer ambik post kat blog sendiri. Dah lah back link apa pun ko tak bagi kat dia org. Hormatilah penulisan orang lain bro..

    ReplyDelete